Peraturan menggunakan autobahn Autobahn

Walaupun rangkaian lebuh raya Jerman sangat terkenal kerana tidak mempunyai had laju maksimum, namun beberapa peraturan lebuh raya yang ketat dikenakan pada semua pengguna autobahn. Polis peronda lebuh raya memantau keadaan lebuh raya dan ada di antara mereka yang membawa bersama kamera video, membolehkan beberapa peraturan yang dilihat sukar dibuktikan di mahkamah jika di negara lain (seperti mengekori terlalu rapat) dapat dikuatkuasakan. Antaranya termasuklah:-

  • Had laju minimum di Jerman dan Austria ialah 60 km/j (Switzerland: 80 km/j)
  • Lorong perlahan di sebelah kanan mesti digunakan sekiranya kosong dan lorong memotong di sebelah kiri hanya boleh digunakan semasa memotong sahaja.
  • Memotong di sebelah kanan tidak dibenarkan. Jika kenderaan yang dipotong berada di lorong kiri, kedua-dua kenderaan yang memotong dan dipotong akan disaman.
  • Menghalang kenderaan lain memotong juga tidak dibenarkan[3].
  • Semasa kesesakan lebuh raya, lorong kecemasan mesti dikosongkan bagi memberi laluan kepada kenderaan kecemasan seperti ambulans, kereta polis dan kereta bomba melaluinya.
  • Pemandu tidak dibenarkan berhenti di lebuh raya termasuklah di lorong kecemasan kecuali dalam keadaan kecemasan seperti kereta rosak atau terlibat dalam kemalangan. Pemandu yang keretanya terhenti akibat kehabisan minyak juga boleh disaman kerana keadaan tersebut boleh dielakkan.
  • Jarak mengekori (dalam meter) adalah lebih kurang separuh daripada angka kelajuan mengekor (dalam km/j), contohnya 60 m bagi kelajuan 120 km/j. Peraturan ini samalah seperti Peraturan 2 Saat. Pemandu yang mengekori terlalu rapat boleh digantung lesen memandu selama maksimum 3 bulan.
  • Pemandu dibenarkan mengelipkan lampu tinggi dan membunyikan hon sebagai isyarat memotong[4], tetapi tidak dibenarkan berkelakuan yang berupa gangguan seperti menggunakan lampu tinggi dalam jangka masa panjang. Menghalang kenderaan lain memotong juga adalah satu kesalahan.
  • Tayar yang digunakan mestilah disahkan mengikut kelajuan maksimum kenderaan.